.
.
Tanggal 17 Mac 1824, Inggeris dan Belanda menandatangani Perjanjian London yang memecahkan empayar Johor-Riau-Lingga hingga mengubah alam Melayu buat selamanya.
Perjanjian itu meletakkan Semenanjung Malaysia dan Singapura di bawah empayar Inggeris manakala Kepulauan Riau-Lingga di bawah Belanda, sekaligus memecahkan bangsa Melayu yang tinggal 'sebumbung' dalam empayar kesultanan itu.
Mengikuti Ekspedisi Jejak Warisan Jawi III (JWJ III) di Kepulauan Riau-Lingga di sini baru-baru ini, penulis merasakan bagai pulang ke kampung halaman.
Ini adalah kali pertama penulis menjejakkan kaki di kepulauan ini.
MELAYU
Majoriti kawasan di kepulauan ini didiami orang Melayu, justeru daripada suasana, cara hidup, bahasa, makanan dan kehidupan di kawasan ini mempunyai banyak persamaan dengan orang Melayu di Malaysia.
Malah masakan seperti asam pedas dan sambal tumis, masakan yang popular di Malaysia juga amat popular terutama di kalangan orang Melayu di sini.
Bandar Tanjungpinang, destinasi pertama penulis, dilihat bagaikan metropolis Kuala Lumpur pada awal tahun 80an dengan deretan kedai, kesibukan kenderaan dan pergerakan orang ramai.
Bagi anggota ekspedisi, Saiful Anwar Yahaya atau lebih mesra dengan panggilan Tok Pol, melihatkan suasana di sepanjang sebatang jalan yang dipenuhi dengan kedai makan di Tanjungpinang mengingatkan beliau akan Kampung Baru, Kuala Lumpur pada awal tahun 80an.
"Makanan, minuman dan orangnya semuanya serupa. Malah teringat kisah lalu makan masakan asli kampung di Kampung Baru," katanya kepada Bernama ketika menjamu selera di sebuah kedai makan di sini.
Namun, kemajuan di Tanjungpinang amat ketinggalan berbanding metropolis Kuala Lumpur juga bandar raya lain di Malaysia.
KITA ASALNYA SATU
Semasa perjalanan dengan feri menuju ke sebuah pulau di sini, penulis berkenalan dengan seorang penulis bebas Henry Santoso, 38, berasal dari Batam di sini yang berketurunan Melayu dan Jawa.
Mengetahui penulis seorang wartawan berbangsa Melayu dari Malaysia, beliau tambah bersemangat bercerita tentang sejarah dan kehidupan orang Melayu di Kepulauan Riau-Lingga.
"Kita asalnya satu tetapi penjajah yang memisahkan kita. Hidup orang Melayu di Lingga ini amat banyak persamaan dengan orang Melayu di Malaysia," katanya yang pernah beberapa kali ke Malaysia.
Beliau berkata orang Melayu di Malaysia amat beruntung memperoleh peluang yang lebih baik terutama melibatkan bidang pendidikan dan ekonomi berbanding orang Melayu di sini.
"Sekarang walaupun kita dibezakan dengan negara masing-masing, jangan sesekali kita lupa bahawa kita asalnya satu. Kita perlu bersatu sebagai satu masyarakat Melayu," tegas Santoso.
PULAU BENAN
Ekspedisi diteruskan ke Pulau Benan dan ketika turun dari feri, penulis disambut persembahan silat, alunan kompang juga deretan bunga manggar dipegang kanak-kanak Melayu pulau ini.
Menariknya bila melihat cara sambutan itu sama dengan cara masyarakat Melayu di Malaysia menyambut tetamu malah bunyi alunan kompang itu amat mirip dengan alunan kompang di kampung halaman penulis di Batu Pahat, Johor.
Menurut Sahlan, 42, yang mengiringi penulis melawat sekitar kampung di pulau ini, masyarakat Melayu merangkumi lebih 90 peratus daripada jumlah 1,000 orang penduduk pulau, manakala selebihnya ialah orang Jawa dan Cina.
"Kita memang ada belajar kompang dan silat di pulau ini, yang diwarisi turun temurun. Silat cekak, kuntau dan sendeng masih dipelajari golongan belia sebagai mengisi waktu lapang terutama pada malam hari.
"Kebanyakan kami di sini hidup atas hasil laut, ada menangkap ikan, ada juga menternak ikan. Kami juga sedang berusaha meningkatkan pelancongan di sini dan harap bidang baru ini mampu meningkatkan kehidupan kami di sini," katanya.
Hamidah, 49, pula menghidangkan air kelapa muda dicampur gula Melaka kepada anggota ekspedisi. Bila ditanya di mana beliau belajar membuat gula Melaka, Hamidah menjawab daripada moyangnya di Melaka.
"Saya dan ramai orang di pulau ini ada saudara mara di Melaka dan Johor. Makanan tadisional orang Melaka seperti asam pedas dan manisan dibuat daripada gula Melaka memang menjadi kegemaran kami di sini.
"Ada juga antara kami yang tahu mengalun muzik ghazal dan menari tarian zapin yang amat popular di Johor," katanya sambil menambah lagu "Gadis Melayu" nyanyian Jamal Abdillah menjadi kegemaran masyarakat Melayu di pulau ini.
TERNAK IKAN
Mohammad Salim, 51, yang menternak ikan di pulau ini, turut menjemput penulis dan anggota ekspedisi JWJ III untuk makan di rumahnya.
Lauk sotong masak sambal tumis dan ikan cencaru kering bakar yang dihidang bersama nasi panas walaupun agak ringkas, amat menyelerakan bagi penulis. Rasanya sama seperti masakan nenek di kampung, bisik hati penulis.
Sesudah makan, penulis dan anggota ekspedisi JWJ III sempat berbual dengan Mohammad Salim berkenaan kehidupan bangsa Melayu di pulau ini.
"Kami di sini tidak mempunyai peluang sebanyak yang diperoleh orang Melayu di Malaysia, jadi jangan duduk menunggu untuk disuap, rebut peluang dengan sepenuhnya.
"Bangsa Melayu telah memajukan Malaysia sejak dulu lagi, jadi jangan sia-siakan penat lelah nenek moyang kamu itu. Mereka lakukannya untuk faedah generasi muda," katanya -Bernama
(Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana catatan perjalanan penulis mengikuti Ekspedisi Jejak Jawi III, ekspedisi bagi mengkaji sejarah dan warisan Melayu di Kepulauan Riau-Lingga, Indonesia)
ASAL SAYA DARI SINGAPURA IBU SAYA PULA BERKETURUNAN RIAU INDONESIA DIDAERAH PONTIANAK....BELIAU LAHIR PADA TAHUN 1920'AN....??(TIDAK KENAL SAUDARA MARA DISANA LANGSUNG....??)
ReplyDeleteRespect and I have a neat give: How Much Remodel House house renovation and design
ReplyDelete